fb fb fb fb fb

Gauff diraikan peminat selepas julang trofi sulung Terbuka Perancis

Juara tenis Terbuka Perancis, Coco Gauff meraikan kemenangan bersama peminat di Paris/Reuters

PARIS, 9 Jun- Juara baharu tenis Terbuka Perancis, Coco Gauff menerima sorakan gemuruh daripada para peminat apabila menjulang tinggi trofi Coupe Suzanne Lenglen di tengah-tengah Place de la Concorde, Paris, sehari selepas kemenangan bersejarah ke atas Aryna Sabalenka.

Senyuman Gauff menghiburkan ratusan peminat yang berkumpul di dataran ikonik itu pada Ahad sambil mengangkat trofi tersebut, diiringi laungan sorakan serta bunyi kamera yang tidak putus-putus merakam detik manis tersebut.

Pemain muda Amerika Syarikat itu bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Sabalenka 6-7 (5), 6-2, 6-4 dalam perlawanan akhir wanita, sekali gus meraih gelaran sulung Terbuka Perancis.

Ia adalah kejuaraan Grand Slam keduanya selepas kejayaan di Terbuka Amerika Syarikat pada 2023.

Dalam kalangan peminat yang hadir termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, yang berkongsi kenangan mengiringi Gauff ke gelanggang pada final Terbuka Perancis 2022, ketika itu Gauff tewas kepada Iga Swiatek.

"Saya gembira dapat melihat dia akhirnya membawa pulang trofi yang diidamkan ini," kata kanak-kanak tersebut yang turut diraikan oleh para hadirin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM