KUALA LUMPUR, 9 Jun - Skuad hoki wanita negara meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Wanita 2 yang akan berlangsung di Poland dari 16 hingga 22 Jun.
Ketua Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menyifatkan sasaran itu realistik berdasarkan kekuatan semasa pasukan negara.
"Sasaran utama kita adalah untuk layak ke separuh akhir terlebih dahulu. Format pertandingan adalah sama seperti National Cup lelaki, di mana dua pasukan teratas dalam setiap pool akan layak ke separuh akhir.
Oleh itu, sasaran kita adalah untuk layak ke separuh akhir dan selepas itu, kita berharap yang terbaik agar dapat melayakkan diri ke perlawanan akhir," katanya kepada media di sini, hari ini.
Pasukan di bawah kendalian, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu, diundi dalam Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Uruguay dan tuan rumah, Poland.
Antara pemain utama yang akan menggalas cabaran negara termasuk penjaga gol, Siti Zalia Nasri, pertahanan, Fatin Shafika Mohd Sukri dan penyerang berpengalaman, Hanis Nadiah Onn.
Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Poland, sebelum bertemu Uruguay dan Afrika Selatan dalam misi memburu slot ke separuh akhir.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyatakan meskipun di atas kertas, Malaysia mempunyai ranking yang baik, namun beliau tetap mengingatkan pemain supaya sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.
"Kita berada di kedudukan ke-23 dunia, manakala Poland berada di ranking ke-27 dunia. Namun, ranking tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana mereka bermain dalam Liga Eropah dan layak ke Liga Eropah.
"Baru-baru ini, mereka mendapat tempat kedua selepas menentang pasukan Itali atau Perancis di peringkat akhir, menunjukkan bahawa tahap mereka adalah agak tinggi," katanya.
Tambahnya lagi, setiap pasukan dalam Kumpulan A berpotensi untuk layak ke peringkat separuh akhir terutamanya pasukan tuan rumah.