fb fb fb fb fb

Malaysia, Vietnam lakukan persiapan akhir sebelum aksi kelayakan

Malaysia, Vietnam lakukan persiapan akhir sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung malam esok / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Skuad kebangsaan Malaysia dan Vietnam masing-masing menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, menjelang aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung malam esok.

Kedua-dua pasukan mengambil giliran menggunakan gelanggang utama perlawanan sebagai persiapan akhir, dengan tujuan menyesuaikan diri dengan permukaan padang, pencahayaan serta suasana persekitaran stadium.

Tumpuan utama pada sesi latihan malam ini ialah kehadiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya.

Kehadiran baginda dilihat memberi suntikan semangat kepada para pemain dan pegawai pasukan.

Baginda turut meluangkan masa untuk berinteraksi secara ringkas bersama barisan kejurulatihan serta beberapa pemain utama negara.

Sesi latihan pasukan Vietnam dimulakan terlebih dahulu dari pukul 6 petang hingga 7 malam, manakala skuad Harimau Malaya mengambil giliran dari 8 malam hingga 9 malam.

Pasukan negara yang dikendalikan ketua jurulatih, Peter Cklamovski, memberi tumpuan kepada aspek strategi dan penguasaan bola, termasuk memantapkan kombinasi kesebelasan utama yang dijangka diturunkan pada perlawanan esok.

Latihan turut memfokuskan situasi ‘set-piece’ dan gerakan serangan pantas.

Sementara itu, skuad Vietnam di bawah bimbingan Kim Sang Sik hadir dengan barisan penuh dan menggunakan sesi latihan petang untuk memperkemas formasi 4-3-3 yang dijangka menjadi strategi utama mereka.

Latihan dijalankan secara tertutup bagi memastikan kerahsiaan taktikal dikekalkan.

Perlawanan Malaysia menentang Vietnam akan berlangsung malam esok, pukul 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN