fb fb fb fb fb

AGM PSM: Syed Azmir sedia bertanding jawatan presiden

Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad (kiri) dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan (kanan) / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk tersebut yang akan berlangsung di ibu negara pada 29 Jun.

Beliau telah aktif dalam pentadbiran sukan sejak tahun 1995 dan mula menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada tahun 2006 dan kini beliau memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) bagi penggal 2025 hingga 2027.

Berdasarkan latar belakang serta penglibatannya yang lama dalam sukan sepak takraw, beliau yakin mampu memikul tanggungjawab sebagai Presiden PSM dengan penuh iltizam dan profesionalisme, sekiranya diberi peluang oleh para perwakilan.

Bagaimanapun pencalonan itu bergantung kepada keputusan penyandang jawatan Datuk Mohd Sumali Reduan, akan mempertahankan kedudukan tersebut atau sebaliknya.

Syed Azmir menyatakan bahawa sekiranya Datuk Mohd Sumali mengesahkan untuk bertanding semula, beliau bersedia memberi laluan dan sebaliknya akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PSM.

Tambahnya juga, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Datuk Sumali demi pembangunan PSM, dan PSTPs akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Sumali sekiranya beliau terus diberi mandat.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE