fb fb fb fb fb

Cristian Chivu, ketua jurulatih baharu Inter Milan

FOTO INTER MILAN

MILAN,10 Jun- Bekas pertahanan Inter Milan, Cristian Chivu diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu bagi menggantikan Simone Inzaghi yang berundur selepas kekalahan memeritkan 0-5 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah.

Chivu, 44, yang berasal dari Romania, menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab gergasi Serie A itu.

Bekas pemain pertahanan itu pernah beraksi selama tujuh musim bersama Inter dan merupakan sebahagian daripada skuad treble Jose Mourinho pada tahun 2010 sebelum bersara sebagai pemain di kelab itu pada 2014.

“Cristian diberikan peluang pertama mengendalikan pasukan utama pada Februari 2025 bersama Parma. Beliau berjaya memastikan kelab itu kekal dalam saingan Serie A selepas mengutip 16 mata dalam 13 perlawanan,” jelas kenyataan rasmi kelab.

Pelantikan itu menandakan permulaan babak ketiga Chivu bersama Nerazzurri. Beliau sebelum ini kembali ke Inter pada 2018 dan menempuh perjalanan kejurulatihan melalui akademi kelab, termasuk memenangi kejuaraan liga remaja pada musim pertamanya sebagai jurulatih.

Meskipun Chivu belum memiliki pengalaman luas seperti Inzaghi, beliau mencuri perhatian ketika mengemudi Parma dengan memperkemas barisan pertahanan pasukan. Sepanjang 13 perlawanan di bawah bimbingannya, Parma hanya dibolosi 13 kali, jauh lebih baik berbanding 27 gol yang dilepaskan dalam 13 perlawanan terdahulu.

Parma turut mencatat keputusan cemerlang menentang kelab-kelab besar termasuk kemenangan ke atas Juventus, Bologna dan Atalanta, serta keputusan seri ketika bertemu Inter, Lazio dan Napoli.

Malah, pasukan bimbingan Chivu turut membantu Inter secara tidak langsung apabila mengikat Napoli tanpa jaringan pada perlawanan kedua terakhir liga.

Namun, skuad Inzaghi gagal memanfaatkan peluang itu apabila sekadar seri 2-2 dengan Lazio, sekali gus menyaksikan Napoli dinobatkan juara liga.

Simone Inzaghi yang sebelum ini membawa Inter merangkul kejuaraan Serie A musim lalu, menamatkan musim kali ini tanpa sebarang trofi. Inter turut kecundang kepada musuh setempat, AC Milan di separuh akhir Coppa Italia, sebelum dimalukan PSG di pentas Eropah.

Tiga hari selepas kekalahan di Munich, Inzaghi mengumumkan pengunduran dan kemudiannya diumumkan sebagai pengendali baharu kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Cabaran pertama Chivu sebagai ketua jurulatih Inter adalah dalam kejohanan Piala Dunia Kelab yang bakal bermula 17 Jun ini. Inter dijadual menentang kelab Mexico, Monterrey di Los Angeles sebelum meneruskan saingan bertemu Urawa Red Diamonds (Jepun) dan River Plate (Argentina) di Seattle.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE