fb fb fb fb fb

Jonathan Tah sah sertai Bayern Munich, sedia diturunkan di Piala Dunia Kelab

Jonathan Tah / FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Bayern Munich kini boleh menurunkan pemain pertahanan baharu mereka, Jonathan Tah dalam saingan Piala Dunia Kelab selepas mencapai persetujuan dengan Bayer Leverkusen untuk memulakan kontraknya lebih awal, seiring bermulanya kejohanan tersebut.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Bayern pada 29 Mei lalu secara perpindahan percuma, selepas membantu Leverkusen menjuarai Bundesliga musim 2023-2024 serta mencatat 402 penampilan sepanjang kariernya bersama kelab itu.

Menurut kenyataan kelab, skuad Bayern dijadualkan berlepas ke Amerika Syarikat pada Selasa sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang akan berlangsung di Orlando.

Dalam kempen Piala Dunia Kelab kali ini, Bayern Munich bakal membuka kempen Kumpulan C menentang juara New Zealand, Auckland City pada 15 Jun di Cincinnati, diikuti Boca Juniors dari Argentina pada 19 Jun di Miami, sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Benfica dari Portugal pada 24 Jun di Charlotte.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE