MANCHESTER, 10 Jun- Manchester City mengesahkan telah mendapatkan khidmat pertahanan Algeria, Rayan Ait-Nouri dari Wolverhampton Wanderers dengan kontrak selama lima tahun menjelang saingan Piala Dunia Kelab bulan ini.
Walaupun butiran kewangan tidak diumumkan secara rasmi, laporan media Britain menyebut City membayar sekitar £33.7 juta untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu, yang masih berbaki setahun dalam kontraknya bersama Wolves.
Ait-Nouri mula menyertai Wolves secara pinjaman dari kelab Perancis, Angers pada tahun 2020 sebelum perpindahan itu dijadikan tetap setahun kemudian. Sepanjang lima musim bersama Wolves, beliau membuat 157 penampilan dengan rekod 12 gol dan 19 bantuan jaringan.
Selepas Matheus Cunha ke Manchester United, kini giliran Ait-Nouri pula angkat kaki, petanda jelas Wolves sedang melalui fasa peralihan yang besar
Sementara itu, Manchester City yang menamatkan musim 2024–25 di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris hanya berjaya memastikan tempat ke Liga Juara-Juara UEFA pada hari terakhir musim.
Skuad kendalian Pep Guardiola kini bersedia ke Amerika Syarikat untuk Piala Dunia Kelab, dengan aksi pertama menentang Wydad AC pada 18 Jun. Mereka turut dijadualkan bertemu Al-Ain dan Juventus dalam saingan Kumpulan G.- REUTERS