fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Malaysia bermula gah, jinakkan Myanmar 21-1 pada aksi pembukaan hoki

Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan langkah meyakinkan apabila membelasah Myanmar 21-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A/Foto FB KHM

CHONBURI, 12 Disember – Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan langkah meyakinkan apabila membelasah Myanmar 21-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Universiti Sukan Kebangsaan, hari ini.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menjadi suntikan moral awal, malah menggambarkan jelas misi skuad bimbingan Sarjit Singh untuk membawa pulang pingat emas pada edisi kali ini.

Menurut Sarjit menerusi rakaman video Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), pasukannya menunjukkan permulaan positif, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki, terutama dari segi teknikal.

Beliau menjelaskan, keadaan permukaan padang menjejaskan kelancaran permainan.

1212 SKN REAX SARJIT HOKI SUKAN SEA 2Sarjit Singh

“Permukaan padang ada beberapa masalah. Ada dua kawasan yang bermasalah. Kita terlepas banyak hentian, terutama ketika melakukan pulaan. Ada tiga kawasan yang mengganggu, dan kita benarkan satu bola masuk dari kawasan dalam,” katanya.

Bagaimanapun, Sarjit menegaskan Malaysia perlu mengekalkan gaya permainan agresif dan pantas untuk terus menguasai perlawanan.

“Kami datang ke sini untuk memenangi kejohanan, jadi kami perlu banyak menggerakkan bola. Tidak sepatutnya ada masalah selagi kami bermain dengan aliran bola yang baik dan memanfaatkan peluang,” tegasnya.

Malaysia kini melangkah ke aksi seterusnya dengan keyakinan tinggi sambil memperkemas kemahiran asas sebelum berdepan cabaran lebih sengit pada peringkat akan datang.

Skuad negara akan bertemu Indonesia pada perlawanan kedua Kumpulan A, esok.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN