KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos menghadapi saingan Sukan SEA 2025 di Thailand Disember ini.
Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di laman Facebook.
Menurut FAM kesemua perlawanan bagi edisi ke-33 ini akan berlangsung di Bangkok, Chonburi, Songkhla dan juga Chiang Mai.
Juara setiap kumpulan dan naib johan terbaik akan layak ke separuh akhir.
Kejohanan akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Pada edisi ke-32 di Kemboja dua tahun lalu, Malaysia yang diwakili skuad Bawah 22 Tahun (B-22) sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Kali terakhir skuad muda Harimau Malaya mara ke final adalah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.
Sementara itu, bagi saingan wanita, Malayan Tigress diletakkan dalam kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar dan Filipina.
Skuad kendalian Ketua Jurulatih, Joel Cornelli ketika ini bakal menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 di Hong Kong, China sebagai persiapan sebelum ke Sukan SEA Thailand.