fb fb fb fb fb

MotoGP Australia: Fernandez ungguli kemenangan sulung Trackhouse

Pelumba Trackhouse, Raul Fernandez /Foto Reuters

VICTORIA, 19 Oktober - Raul Fernandez mencipta kejutan apabila meraih kemenangan sulung MotoGP dalam kariernya pada Grand Prix Australia, sekali gus memberikan kemenangan pertama buat pasukan Trackhouse Racing dalam kelas premier.

Dalam perlumbaan di Litar Phillip Island itu, pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi yang bermula di petak kedua memintas kedudukan pendahulu daripada pelumba petak utama, Quartararo sebelum selekoh pertama.

Fernandez dan Pedro Acosta dari Red Bull KTM turut memanfaatkan keadaan untuk memintas Quartararo yang mencatat pusingan kelayakan terpantas pada Sabtu.

Namun, usaha Bezzecchi tidak bertahan lama apabila dia dikenakan penalti dua pusingan panjang akibat insiden perlanggaran dengan juara dunia MotoGP, Marc Marquez, di Grand Prix Indonesia.

Fernandez, 24, mengambil kesempatan daripada penalti Bezzecchi untuk memimpin perlumbaan dan kekal mendahului hingga ke garisan penamat tanpa dicabar, sekali gus mencatatkan kemenangan bergaya buat pelumba dari Sepanyol itu.

Pelumba VR46 Racing, Di Giannantonio berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, diikuti Bezzecchi yang melengkapkan podium.

Dalam kategori Moto2, pelumba tuan rumah, Senna Agius menggembirakan penyokong Australia apabila menguasai setiap pusingan untuk meraih kemenangan keduanya dalam karier.

Agius yang bermula dari petak kedua, terus memecut ke hadapan di selekoh pertama dan mengekalkan momentum sepanjang perlumbaan, menamatkan saingan dengan kelebihan tiga saat di hadapan pencabar terdekat.

Pelumba Brazil, Diogo Moreira berjaya meraih tempat kedua selepas permulaan cemerlang, sementara pencabar kejuaraan, Manuel Gonzalez gagal memintas dan kekal di belakang sepanjang perlumbaan.

Dalam pada itu bagi kelas Moto3, juara dunia baharu, Jose Antonio Rueda membuktikan keunggulannya dengan kemenangan ke-10 musim ini melalui satu lagi persembahan cemerlang.

Bermula dari petak kedua, Rueda memintas pada pusingan ketujuh dan menahan tekanan daripada pelumba tuan rumah, Joel Kelso dalam perlawanan penentuan di pusingan terakhir.

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe turut melengkapkan podium di kedudukan ketiga. - REUTERS

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN