fb fb fb fb fb

Naufal Siddiq, Syarifah Elsa tawan Tenis Terbuka KL

Naufal Siddiq, Syarifah Elsa mengungguli kategori perseorangan /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Naufal Siddiq dan Syarifah Elsa Wan Rahman dinobatkan sebagai juara perseorangan lelaki dan wanita Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur 2025.

Kedua-duanya mempamerkan aksi cemerlang di pentas final yang berlangsung di Pusat Tenis Negara, di sini.

Naufal, pilihan kelapan kejohanan meraih kemenangan selepas pilihan utama, Koay Hao Sheng menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan di set kedua.

Hao Sheng sebelum itu memenangi set pertama 6-2, namun Naufal bangkit mendahului 5-3 di set kedua sebelum perlawanan ditamatkan.

“Dari awal saya tahu perlawanan ini sememangnya sukar apabila bertemu Hao Shen yang pernah dua kali menjuarai kejohanan ini. Tetapi saya kekal fokus dan yakin saya mampu menang,” kata Naufal selepas perlawanan.

Bagi kategori wanita, Syarifah Elsa membuktikan statusnya sebagai pilihan utama apabila menundukkan Lim Zan Ning (pilihan ketujuh) dengan keputusan 6-1, 6-3.

“Pungutan mata nampak mudah, tapi pertemuan ini sememangnya sukar, menguji fizikal dan mental. Namun saya tetap dapat atasi untuk terus bertahan dan akhirnya berjaya," ujar Elsa.

Selaku juara, Naufal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala Elsa meraih RM5,000.

Kejohanan ini turut menjadi medan persediaan penting buat skuad tenis negara menjelang Sukan SEA Thailand yang bakal berlangsung pada Disember nanti.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN