BANGKOK, 15 Disember – Tan Cheong Min terus mengukuhkan statusnya sebagai ratu wushu negara apabila mempamerkan aksi cemerlang untuk meraih dua pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Atlet berusia 27 tahun itu menampilkan persembahan konsisten dan penuh bergaya dalam acara individu gabungan nanquan, nangun dan nandao sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Cheong Min mengumpul keseluruhan 29.263 mata, hasil catatan 9.743 mata (nanquan), 9.760 (nangun) dan 9.760 (nandao).
Keputusan itu membolehkannya menewaskan wakil Vietnam, Dang Tran Phuong Nhi, yang mengutip 29.112 mata, manakala atlet Singapura, Ong Xue Ling Kassandra, meraih pingat gangsa dengan 28.579 mata.
Atlet wushu negara, Loh Ying Ting (kiri), Pang Pui Yee (tengah) dan Tang Cheong Min (kanan) merangkul pingat Emas dalam acara Duilian senjata wanita akhir pada Sukan SEA 2025/Foto BERNAMA
Kejayaan Cheong Min tidak terhenti di situ apabila beliau sekali lagi menceriakan kem wushu negara dengan membantu skuad wanita Malaysia meraih emas dalam acara berpasukan duilian bersenjata wanita.
Digandingkan bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee, trio negara mencatat 9.730 mata untuk menewaskan pasukan tuan rumah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 9.646 mata.
Myanmar melengkapkan kedudukan podium dengan memenangi pingat gangsa hasil catatan 9.606 mata.