fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Gandingan Johnathan–Joseline raih gangsa 10m air pistol campuran

Atlet menembak negara Jonathan Wong Guanjie (kiri) dan Joseline Lee Yean Cheah menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 10M Air Pistol berpasukan campuran dengan kutipan 16 mata pada Sukan SEA Thailand 2025/Foto BERNAMA

BANGKOK, 15 Disember – Hasrat gandingan Johnathan Wong Guanji –Joseline Lee Yean Cheah untuk menghadiahkan pingat emas kedua kepada skuad menembak negara tidak kesampaian apabila berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara 10 meter air pistol berpasukan campuran pada Sukan SEA Thailand 2025.

Duo negara itu menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan pasangan Myanmar Khaing Khaing Wai–Ye Tun Naung 16-8 pada aksi penentuan gangsa di Lapangan Sasar Menembak Sports Authority of Thailand.

Johnathan turun dengan sasaran mara ke perlawanan penentuan emas, namun prestasi kurang konsisten pada pusingan kelayakan menjejaskan peluang tersebut.

1512 SKN SEA MENEMBAK 2Atlet menembak negara Jonathan Wong Guanjie (kanan) dan Joseline Lee Yean Cheah memenangi pingat gangsa dengan kutipan 16 mata dalam acara 10M Air Pistol berpasukan campuran pada Sukan SEA Thailand 2025/Foto BERNAMA

Gangsa berkenaan turut mencatat sejarah sebagai pingat pertama Malaysia dalam acara pistol berpasukan campuran di temasya Sukan SEA.

Pada pusingan kelayakan, gandingan Johnathan–Joseline mengumpul 563 mata untuk berada di kedudukan kelima daripada enam pasukan.

Sementara itu, Joseline mengakui tekanan memberi kesan terhadap persembahannya, namun bersyukur dapat bangkit pada perlawanan penentuan gangsa.

Pingat emas acara itu menjadi milik gandingan Indonesia, Muhamad Iqbal Raia Prabowo–Putri Darmoyo Arista Perdana, manakala Vietnam membawa pulang perak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN