fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Gangsa Ling Ching isyarat kebangkitan perseorangan wanita negara

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Kejayaan Wong Ling Ching meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025 disifatkan sebagai petanda awal kebangkitan acara perseorangan wanita negara selepas enam tahun kemarau pingat.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi laman X berkata pencapaian pemain berusia 22 tahun itu bukan sekadar kejayaan di podium, sebaliknya isyarat positif terhadap hala tuju pembangunan perseorangan wanita negara.

Ling Ching, yang kini menghuni ranking ke-46 dunia, terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada wakil tuan rumah dan bekas juara dunia, Ratchanok Intanon, dalam pertarungan tiga set.

Sebelum itu, beliau mencuri tumpuan apabila menewaskan pemain ranking ke-10 dunia dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, sekali gus membuktikan peningkatan kematangan dan keyakinannya di pentas antarabangsa.

Tengku Zafrul turut memuji komitmen serta keberanian yang ditampilkan Ling Ching sepanjang kejohanan dan berharap pencapaian itu menjadi pemangkin kepada prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN