CHINA, 15 Disember – Atlet junior memanah berkuda negara mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pingat emas, perak dan gangsa pada Kejohanan Memanah Berkuda Sedunia 2025 yang berlangsung di Honghuashan Sports Centre, Shenzhen City, dari 10 hingga 13 Disember lalu.
Kejohanan bertaraf antarabangsa itu dianjurkan dengan kelulusan Persekutuan Memanah Berkuda Dunia (WHAF) dan disertai lebih 70 atlet dari pelbagai negara termasuk China, Kazakhstan, Turki, Iran, Iraq, Thailand, Indonesia, Mongolia, Korea Selatan dan Malaysia.
Dalam Divisyen Junior, Abdurrahman Ahmad Mu’az meraih pingat perak acara Hungarian Format, manakala Muhammad Muhamad Akmal memenangi gangsa.
Foto Kejohanan Memanah Berkuda Sedunia 2025
Kejayaan lebih cemerlang dicatat dalam Serial Format apabila Abu Bakr Muhamad Akmal muncul juara dengan pingat emas, sementara Muhammad Muhamad Akmal menambah kilauan perak.
Prestasi meyakinkan turut diteruskan dalam acara berpasukan apabila Malaysia meraih pingat emas Masahi Team Junior, sekali gus mengesahkan penguasaan atlet muda negara di pentas antarabangsa.
Dalam Divisyen Terbuka, Abdurrahman sekali lagi menyerlah dengan meraih pingat perak acara Hungarian Format, manakala Abu Bakr menyumbang gangsa dalam Serial Format.
Foto Kejohanan Memanah Berkuda Sedunia 2025
Kemuncak kejayaan negara diserlahkan apabila Malaysia menjuarai Masahi Team Open Division menerusi gandingan Abu Bakr Muhamad Akmal dan Abdurrahman Ahmad Mu’az, selain Abu Bakr turut dinobatkan sebagai penerima anugerah prestasi terbaik kejohanan.
Keseluruhan pencapaian itu mencerminkan peningkatan ketara prestasi atlet memanah berkuda negara di peringkat antarabangsa, dengan wakil Malaysia terdiri daripada kelab Pemanah Berkuda Alam Warisan, Akademi Alam Warisan dan Arba Equestrian.