KUALA LUMPUR, 27 Disember- Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan beri tumpuan kepada sesi pemulihan dan meningkatkan keupayaan untuk menambah jumlah berat angkatan.
Ini sebagai persediaan menghadapi kejohanan musim depan khususnya temasya Sukan Sea 2025 yang akan berlangsung di Thailand.
Atlet berusia 22 tahun itu menyatakan, peluang cerah untuknya beraksi bersama pemain junior dan senior pada temasya itu nanti.
Tahun 2024 menyaksikan pencapaian luar biasa Aniq apabila dia mencatat rekod baharu negara dengan angkatan 298 kilogram di Kejohanan Komanwel di Fiji, sekali gus meraih pingat emas.
Pada Sukan Olimpik Paris Ogos lalu, Aniq hampir meraih pingat.
Dia meraih kedudukan keempat dengan angkatan gabungan 297 kilogram, hanya satu kilogram kurang daripada pemenang gangsa, Hampton Morris dari Amerika Syarikat.
Pada Disember, Aniq meraih dua pingat perak dalam acara 'clean and jerk' dan 'snatch' di Kejohanan Dunia di Bahrain dan menjadi penutup tahun yang luar biasa.
Tahun depan, skuad angkat berat Malaysia akan menghadapi ujian besar di Kejohanan Dunia di Norway pada Oktober manakala Sukan SEA Thailand, Disember.