fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Ahmad Muhaimin prospek emas skuad e-sukan

Ahmad Muhaimin Razak dilihat berpotensi untuk menamatkan kemarau emas Malaysia dalam acara e-sukan di temasya dwitahunan itu / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 19 Disember – Juara FIFA e-Piala Dunia Mobile 2024, Ahmad Muhaimin Razak yang dikenali sebagai "Minbappe", dilabel sebagai prospek emas utama skuad e-sukan Malaysia untuk Sukan SEA Thailand 2025.

Presiden Persekutuan Esukan Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al-Amin berkata Minbappe dilihat berpotensi untuk menamatkan kemarau emas Malaysia dalam acara e-sukan di temasya dwitahunan itu.

“Sebab itu kita hendak fokuskan supaya ini adalah satu peluang untuk menyumbang pingat kepada negara. Kita akan bawa mereka ke kem latihan intensif (boot camp) dan dari situ, kita akan memilih yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita.

Selain itu, MESF turut merancang untuk menganjurkan kelayakan Asia bagi kejohanan Piala Dunia e-sukan pada tahun hadapan.

“Kami telah menghantar kertas cadangan penganjuran kejohanan itu dan kini sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan,” tambah Naim.

Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam arena e-sukan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN