fb fb fb fb fb

Sukan Para Asean Solo: Kontinjen negara sasar 16 pingat emas

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran 16 Pingat emas pada Sukan Para Asean Solo bermula 30 Julai ini di Solo, Indonesia.

Meskipun perancangan asal tiada penyertaan kontinjen negara berikutan penarikan diri Vietnam sebagai tuan rumah Para Asean 2021, namun Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata ia adalah atas semangat solidariti serantau asia tenggara.

Menurut beliau, ini merupakan kali pertama Malaysia menyertai Sukan Para ASEAN setelah 5 tahun tidak diadakan dengan kali terakhir pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

"Walaupun sasaran secara spesifik tak disebut oleh MSN (Majlis Sukan Negara), tapi saya sebagai ketua kontinjen telah merangka dan melihat yang kita ada ruang untuk memperolehi sekurang-kurangnya 16 emas. Ini bersandarkan kepada pembabitan atlet senior yang sudah lama di dalam sukan masing-masing.

"Walaupun begitu, ia bergantung kepada dua perkara. Pertamanya (situasi) Sukan Para Asean ini hanya boleh diketahui apabila kita tiba di sana. Kadang-kadang ada acara yang digugurkan.

"Kedua, atlet kita sudah lima tahun tidak beraksi di Sukan Para Asean. Kali terakhir pada 2017 di Kuala Lumpur di mana kita menghantar hampir 300 atlet dan berjaya mendapat tempat kedua keseluruhan dengan 90 emas.

"Untuk kali ini, jumlah atlet negara lebih kecil dan untuk sasaran 16 emas, ia bergantung kepada dua faktor yang saya sebutkan tadi,"sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke temasya Sukan Para Asean Solo 2020 dan Sukan Perpaduan Islan Konya, Turki, di Bukit Jalil.

Seramai 73 atlet mengambil bahagian dalam 11 daripada 14 acara sukan yang bermula pada 30 Julai hingga 6 Ogos depan.

Atlet lontar peluru para negara, Mohd Zikri Zakaria diberi penghormatan sebagai pembawa jalur gemilang Sukan Para Asean sementara atlet olahraga, Khairul Hafiz Jantan pula dipilih bagi sukan perpaduan Islam di Turki.

Media Baharu