fb fb fb fb fb

Jonassen harap Jun Hao kembali cipta magis pada Kumamoto Masters Japan

Leong Jun Hao/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 November - Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menasihatkan Leong Jun Hao supaya bersedia menghadapi cabaran lebih sukar apabila bakal beraksi di Masters Kumamoto Jepun pada Khamis.

Namun Jonassen berkata, situasi kali ini berbeza susulan Jun Hao sudah terkenal sebagai pemain berpotensi.

"Tahun lalu dia muncul dengan kejutan besar, tapi sekarang semua lawan sudah mengenalinya dan tahu kekuatannya. Itu menjadikan tugasnya lebih mencabar," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini.

Sementara itu, Jonassen turut berharap agar Jun Hao dapat mengekalkan momentum seperti tahun lalu meskipun berdepan tekanan sebagai pemain pilihan.

Tahun lalu, pemain yang menghuni ranking ke-22 dunia itu mencatat sejarah apabila mara ke kejohanan akhir pada acara sama selepas menewaskan beberapa pemain ternama termasuk Lakshya Sen dan Jonatan Christie sebelum tewas kepada Li Shi Feng dari China.

Pemain berusia 26 tahun itu akan membuka saingan menentang wakil India, H.S. Prannoy, yang kini berada di ranking ke-34 dunia.

Rekod pertemuan kedua-dua pemain terikat 1-1, dengan Prannoy memenangi aksi terakhir mereka pada Piala Thomas 2022.

Selain Jun Hao, pemain muda Justin Hoh juga akan beraksi pada Masters Kumamoto Jepun, menentang pemain tuan rumah, Shogo Ogawa, dalam pusingan pertama.

Justin kini sedang mencuba beberapa variasi taktikal baharu dalam permainan, namun perlu mengekalkan identitinya sebagai pemain agresif.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI