fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia : Chiesa tolak panggilan skuad kebangsaan

Pemain Liverpool, Federico Chiesa / REUTERS

ROM, 11 November - Penyerang Liverpool, Federico Chiesa, memilih untuk tidak menyertai skuad kebangsaan Itali bagi dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia minggu ini, kata ketua jurulatih Gennaro Gattuso pada Isnin.

Itali yang gagal mara ke dua edisi Piala Dunia sebelum ini, dijadual bertemu Moldova pada Khamis sebelum aksi penentu menentang pendahulu kumpulan, Norway, di Milan pada Ahad.

Gattuso berkata dia tiada pilihan selain menghormati keputusan pemain itu untuk diketepikan, sambil mengakui dua perlawanan tersebut bakal menentukan siapa yang layak secara automatik ke pusingan akhir di Amerika Utara, manakala pasukan tempat kedua perlu melalui pusingan play-off.

“Saya sering berbincang dengannya. Kita perlu menghormati keputusan dan masalah masing-masing,” kata Gattuso pada sidang media. “Kami tahu apa yang dibincangkan antara kami dan saya harus menghormati apa yang disampaikan oleh pemain. Saya tidak boleh berkata lebih daripada itu.”

Gattuso tidak mendedahkan alasan di sebalik keputusan Chiesa, yang kali terakhir beraksi bersama Itali pada Kejohanan Eropah 2024. Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan dua gol dan membuat tiga umpanan dalam 12 penampilan bersama Liverpool musim ini walaupun minit permainan terhad.

Norway kini mengungguli Kumpulan I dengan 18 mata, tiga mata di hadapan Itali.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE