fb fb fb fb fb

JDT II sekat hajat Kelantan FC kutip tiga mata penuh di laman sendiri

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Pendahulu Liga Premier, Kelantan FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang semalam.

Skuad kendalian Rezal Zambery Yahya yang memulakan aksi dengan garang melalui asakan bertali-arus mendahului pada minit ke-20 menerusi sepakan penalti Nurshamil Abd Ghani selepas bola terkena tangan pemain pertahanan lawan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri.

Namun, malang menimpa skuad The Red Warriors itu apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengah Jasmir Mehat diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-36.

Kesempatan itu dimanfaatkan JDT II apabila anak buah Mariano Echeverria hanya memerlukan lima minit selepas rehat untuk menyamakan kedudukan hasil penyudah Daryl Sham KK George.

Permainan terus rancak dengan Kelantan dan JDT II saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol kemenangan, namun tiada jaringan berjaya dicipta menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati meraih satu mata.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Liga Premier pada malam ini menyaksikan Selangor 2 meraih tiga mata penuh selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas skuad Projek FAM-MSN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

(FOTO Facebook TRW Kelantan FC)

Skuad kendalian Nazliazmi Nasir terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi tandukan kencang pemain import Richmond Ankrah hasil hantaran silang rakan sepasukan.

Bersambung babak kedua, keadaan padang yang licin akibat hujan lebat tidak mengganggu skuad Projek FAM-MSN tampil lebih segar dengan melakukan beberapa asakan ke gawang pihak lawan untuk menjelmakan gol persamaan.

Skuad kendalian Hassan Sazali Waras berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan Farris Izdiham pada minit ke-60.

Namun, Selangor FC yang dilihat terus berhempas pulas dan tertekan untuk menambah jaringan berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi tendangan Izrin Ibrahim pada minit ke-86. - BERNAMA

Media Baharu