fb fb fb fb fb

Mentaliti jangan mudah 'koyak'

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Skuad hoki senior negara perlu memiliki mental yang tidak mudah 'koyak' jika mahu mencabar gergasi-gergasi dunia yang lain dalam kempen Piala Dunia 2023 di India pada 13 hingga 29 Januari depan.

Bagi memastikan mentaliti itu sebati dalam diri pemain, ketua jurulatihnya, A. Arulselvaraj mengakui akan memberi penekanan khusus bagi meningkatkan tahap kekuatan psikologi anak buahnya.

Menurut Arul, sejak dilantik pengendali skuad Speedy Tigers setahun lepas, sasarannya adalah untuk terus meningkatkan mentaliti pemain ke tahap lebih baik.

"Saya nampak selepas Piala Asia 2022, pemain diberikan cuti rehat selama sebulan dan sekembalinya mereka ke kem latihan, tahap kecergasan pemain cuma kurang sekitar 10 hingga 20 peratus sahaja.

"Bagi saya perkara itu sangat baik sebab pemain mempunyai inisiatif sendiri untuk melakukan latihan ketika waktu cuti. Saya sudah beritahu mereka saya tidak akan menjaga sesiapa, mereka perlu mengembangkan diri sebagai pemimpin," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Jelas Arul, situasi ini amat penting kerana mampu membentuk seseorang pemain itu menjadi pemimpin di atas padang, sekali gus tidak mudah 'koyak' apabila berdepan sebarang tekanan dan cabaran dalam permainan.

Mengenai misi di India nanti, beliau optimis anak buahnya mampu mempamerkan aksi terbaik pada penampilan kesembilan di Piala Dunia, selepas menduduki tempat ke-15 pada edisi 2018.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah meraih tempat keempat ketika menjadi tuan rumah edisi 1975.

Media Baharu