KUALA LUMPUR, 18 Julai - Kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Indonesia bakal diletakkan sasaran lebih rendah.
Ketua Kontinjen Sukan Para ASEAN 2022, Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin berkata ia mengambil kira saiz kontinjen yang dihantar kali ini.
"Kita tidak ada upaya untuk letak sasaran tinggi kerana jumlah atlet yang pergi tidak begitu ramai berbanding dengan saya lihat Indonesia dan juga dari Thailand.
"Saya dengar lebih 300 orang atlet ke sana tapi kita ada sasaran besar untuk atlet yang punya nama yang akan diumumkan kemudian," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi latihan kontinjen di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini.
Kontinjen negara disertai 117 orang dengan 73 daripadanya adalah atlet manakala selebihnya adalah pegawai perubatan dan sekretariat.
Malaysia akan menyertai 11 sukan daripada 14 sukan yang dipertandingkan.
Pada penampilan di Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, kontinjen negara meraih 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang Indonesia yang membawa pulang 126 emas, 75 perak dan 50 gangsa.
Sementara itu, bagi jaguh memanah para negara, Suresh Selvatamby berkata dirinya sudah bersedia memburu pingat emas di Sukan Para Asean Indonesia.
Menurut atlet berusia 28 tahun itu, ketika ini segala persediaan telah dilakukan dengan baik bagi menghadapi temasya tersebut.
Antara persiapan yang telah dilakukan adalah mengatasi masalah gementar yang dihadapinya dengan bantuan pakar psikologi.
"Saya yakin sebab sebelum ini saya memang boleh lakukan tapi gemuruh itu buat saya tidak boleh hendak lakukan sangat.
"Untuk kali ini saya sudah bersedia, saya sudah jumpa psikologi untuk hendak hilangkan gemuruh itu jadi mereka sudah bagi idea semua untuk saya, jadi saya tengah cuba benda itu, harap saya boleh pergi," kata pemenang pingat emas acara Recurve Lelaki Terbuka di Kejohanan Memanah Para Dunia di Belanda itu.
Sukan Para Asean Indonesia dijadual bermula dari 30 Julai hingga 6 Ogos.