PORTUGAL, 18 Julai - Jalur Gemilang berkibar megah di Portugal selepas tamat pusingan kelima Kejuaraan Dunia Junior GP 2022 semalam.
Ini selepas pelumba muda negara, Syarifuddin Azman berjaya menduduki tempat kedua pada perlumbaan di Litar Algarve tersebut.
Memulakan perlumbaan di petak kedua, Syarifuddin atau lebih popular dengan panggilan 'Damok' menamatkan perlumbaan dengan catatan 29 minit 07.323 saat (s).
Gelaran juara menjadi milik rakan sepasukannya, Jose Rueda dari Sepanyol dengan catatan masa 29:00.772 saat.
Tempat ketiga pula dimenangi seorang lagi penunggang Sepanyol, Adrian Cruces yang menggunakan jentera KTM dengan catatan masa 29:07.437 saat.
Ini merupakan kali ketiga Damok meraih podium kedua selepas turut meraih kedudukan sama pada dua perlumbaan di Litar Catalunya, bulan lalu.
Keputusan di Portugal itu turut menyaksikan Damok kini menghuni kedudukan kedua keseluruhan kategori JuniorGP 2022 selepas mengutip 97 mata dengan baki tiga lagi pusingan.