(Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan beregu Scotland untuk mernagkul pingat gangsa)
BIRMINGHAM, 8 Ogos- Skuad badminton negara menambah dua lagi pungutan pingat gangsa menerusi acara beregu campuran dan beregu lelaki.
Gandingan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing cemerlang menumpaskan wakil Scotland, Adam Hall dan Julie Macpherson dengan keputusan 21-15, 21-17.
Kian Meng dan Pei Jing bermula cemerlang mendahului enam mata pada satu ketika sebelum menutup aksi set pertama dengan kemenangan 21-15.
Meskipun gandingan dari Scotland bangkit memberi saingan hebat pada set kedua, namun Kian Meng dan Pei Jing kekal tenang menguasai set kedua dengan keputusan 21-17.
Kian Meng kemudiannya turun sekali lagi bagi aksi penentuan pingat gangsa acara beregu lelaki.
Namun Kian Meng yang bergandingan dengan Chan Peng Soon terpaksa akur dengan kehebatan beregu ranking ke-6 dunia, yang juga rakan senegara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Menang set pertama 21-19, Aaron dan Wooi Yik tunduk pada set kedua 11-21, namun kembali bangkit pada set ketiga dengan kemenangan mudah 21-11.
Tumpuan peminat badminton tanah air selepas ini pastinya terarah kepada dua wakil negara yang akan beraksi di pentas final acara badminton hari ini.
Susulan prestasi cemerlang sehingga berjaya mara ke peringkat akhir acara perseorangan lelaki, harapan tinggi diletakkan ke atas Ng Tze Yong untuk menambah koleksi pingat emas kontinjen negara pada temasya kali ini.
Pemain berusia 22 tahun itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel, akan bertemu pemain nombor satu India Laksya Sen pada perlawanan akhir.
Beregu utama wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah yang menampilkan aksi bertenaga juga menjadi sandaran untuk menyumbangkan emas kepada kontinjen Malaysia.
Beregu nombor 11 dunia itu akan berdepan wakil tuan rumah Chloe Birch-Lauren Smith bagi merebut gelaran juara.
(Perlawanan penentuan pingat gangsa beregu lelaki menemukan wakil negara bertemu sesama sendiri)