SHAH ALAM, 12 Disember – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor akan menugaskan pegawai untuk mengawal iringan motosikal sepanjang acara Sukan Kayuhan Basikal Selangor International Ride 2025, yang dijadual berlangsung Ahad ini, bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran aliran trafik.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menerusi kenyataan memaklumkan acara itu melibatkan laluan merangkumi daerah Sepang dan Kuala Langat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar/Foto arkib/BERNAMA
Program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta bagi dua kategori kayuhan, iaitu 88 kilometer dan 25 kilometer.
Kedua-dua kategori akan bermula dan berakhir di PKNS Sales Gallery, Cyberjaya, Sepang.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan memberi kerjasama serta mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas demi memastikan kelancaran dan keselamatan acara.