KUCHING, 25 September- Sarawak mendominasi acara olahraga pada hari pertama Sukan Borneo 2025 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, apabila membolot lapan daripada 13 pingat emas yang dipertandingkan, hari ini.
Pingat disumbang menerusi acara lempar cakera wanita oleh Queenie Ting Kung Ni dengan lontaran sejauh 49.77 meter.
Kejayaan itu diteruskan atlet lompat bergalah wanita, Evelyn Tan Xie Xie yang mencatat 3.20 meter, sebelum pelari pecut muda negara, Dylan Leo Saran Stephen dalam acara 100 meter lelaki.
Sesi petang pula menyaksikan Sarawak terus garang apabila atlet lontar peluru lelaki negara, Jonah Chang Rigan, mengungguli saingan dengan lontaran 17.59 meter.
Turut menyumbang emas ialah Maritza Ferrer Neil Armstrong dalam acara lompat kijang wanita dengan catatan 12.16 meter serta Mandy Goh Li dalam acara 400 meter lari berpagar wanita dengan masa 65.90 saat.
Sementara itu, acara 400 meter berpagar lelaki dimenangi Muhamad Qarluff Kuyt Abdullah yang mencatat masa 54.69 saat, sebelum pasukan 4x100 meter lelaki Sarawak menutup saingan hari pertama dengan penuh bergaya.
Kuartet yang dianggotai Jonathan Nyepa, Dylan Leo Saran Stephen, Dillon Chu Pu Yung dan Mohamad Nur Rahman Mohamad Zaidi memastikan emas ke-8 buat kontinjen Sarawak dengan catatan masa 41.04 saat.
Setakat ini, Sarawak merekodkan kutipan lapan emas, sembilan perak dan 10 gangsa.