fb fb fb fb fb

Sukan Asia Hangzhou: Pasukan ragbi negara sukar capai sasaran

(Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man)

BUKIT JALIL, 4 Ogos- Menjelang Sukan Asia di Hangzhou China, ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man mengakui agak sukar untuk anak buahnya memenuhi sasaran berada di kedudukan empat terbaik temasya berkenaan.

Bagaimanapun pihaknya akan mencari jalan penyelesaian bagi memastikan sasaran yang telah ditetapkan itu mampu dicapai.

"Kalau tengok pada realistiknya lebih dari sebulan agak berat bagi saya tapi saya akan cuba mencari solusi dengan mengadakan pendedahan perlawanan ujian, jadi daripada sini kita boleh nampak KPI kita berada di mana nanti," katanya.

Beliau ditemui sewaktu lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.


(Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt bersama 
skuad ragbi 7s kebangsaan di ISN, hari ini)

Nik Safuan turut berharap pasukannya tidak diundi dalam kumpulan maut nanti bagi mengurang tekanan agar sasaran empat terbaik mampu dicapai.

Jurulatih kelahiran Kuala lipis, Pahang tersebut mengakui sekiranya Skuad Bunga Raya dapat mengelak berdepan pasukan gergasi seperti Jepun mahu pun Hong Kong lebih awal, tidak mustahil pasukan negara berpotensi memburu kedudukan lebih baik pada temasya edisi ke-19 tersebut.

“Kalau ikutkan, pasukan gergasi sekarang ialah Jepun, Hong Kong, Korea Selatan dan China. Ini pasukan gergasi yang perlu kita awasi dan saya berharap proses undian akan berpihak kepada kita.

“Sebab itu, selepas berakhir perlawanan ujian antarabangsa dengan Singapura baru-baru ini, kita sedang meningkatkan tahap stamina pemain negara. Sewaktu perlawanan di Singapura kecergasan pemain negara masih di tahap sederhana.

“Oleh itu, saya mahu menggunakan masa yang ada ini untuk mengilap barisan pemain ragbi negara agar mereka benar-benar bersedia sebelum memulakan cabaran di Hangzhou nanti,” katanya.

Jika skuad negara tidak layak beraksi Asian Series dan aksi ujian tidak dapat direalisasi antara pilihan lain adalah dengan mengatur aksi persahabatan ke atas Singapura di Kuala Lumpur.

Media Baharu