fb fb fb fb fb

Sukan Asia: ESI Hub bakal jadi pusat latihan skuad e-sukan kebangsaan

PUCHONG, 21 April - Hab sukan elektronik (e-sukan) baharu ESI Hub@Spacerubix di Puchong dijangka menjadi pusat latihan bagi skuad e-sukan negara menjelang Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang dijadualkan pada 10 hingga 25 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ESports Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan pasukan kebangsaan ‘berkampung’ di ESI Hub untuk menjalani latihan menghadapi temasya sukan di China itu nanti.

“Mengikut perancangan untuk skuad Sukan Asia latihan di sini, skuad Sukan SEA Hanoi mungkin tidak sempat kerana hab ini baru sahaja dilancarkan.

“Kami memang sudah bersedia (sebagai pusat latihan Sukan SEA), cuma tidak sempat bincang koordinasi, penempatan dan sebagainya jadi disebabkan itu kemungkinan besar mereka akan sambung latihan di MSN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran ESI Hub yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Ramona Mohd Razali. Turut dihadir Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sebanyak lapan permainan e-sukan akan membuat penampilan sulung sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia Hangzhou antaranya Arena of Valor (versi Sukan Asia), Dota 2, Dream Three Kingdoms 2 dan FIFA (oleh EA Sports).

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, enam permainan iaitu Arena of Valor, Clash Royale, Hearthstone, League of Legends, Pro Evolution Soccer dan StarCraft II diadakan sebagai sukan demonstrasi yang mana pingat diperoleh tidak dikira secara rasmi atau dimasukkan dalam carta kutipan pingat.

Sementara itu, Ahmed Faris berkata pihaknya akan berbincang secara lanjut bersama MSN serta Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) untuk sebarang kerjasama pada masa depan termasuk menjadikan hab berkenaan sebagai pilihan utama kem e-sukan negara berlatih sebelum bertanding pada mana-mana kejohanan.

Tambahnya, pertandingan Liga E-Sukan Malaysia akan menjadi acara pertama dianjurkan di  ESI Hub dijangka pada Jun atau Julai ini selain merancang mengadakan ESI Masterclass khususnya dalam mengasah bakat ‘caster’ (juruhebah) dalam masa terdekat.

ESI Hub dilengkapi 13 bilik permainan video serta sebuah dewan kejohanan boleh menempatkan sehingga 200 orang pada satu-satu  masa adalah kesinambungan pengumuman peruntukan untuk sukan negara dalam Belanjawan 2020, bertujuan membantu pertumbuhan e-sukan di negara ini. -BERNAMA

Media Baharu