fb fb fb fb fb

Sukan Asia 2022 tidak ditunda - MOM

KUALA LUMPUR, 23 April- Desas-desus mengatakan Sukan Asia 2022 di Hangzhou ditunda ke tahun depan adalah tidak benar, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Berdasarkan maklum balas diterima daripada penganjur dan Majlis Olimpik Asia (OCA) baru-baru ini, beliau mengesahkan kedua-dua pihak tersebut menafikan penangguhan temasya sukan di China itu yang dijadualkan dari 10 hingga 25 September ini.

“Mereka (penganjur dan OCA) menafikan khabar angin bahawa Sukan Asia akan ditunda atau dibatalkan, jadi, buat masa ini ia akan berjalan seperti yang dirancang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen Malaysia 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah agensi media antarabangsa yang mengatakan temasya itu mungkin ditangguhkan susulan peningkatan kes COVID-19 di Shanghai yang terletak kurang 200 kilometer (km) dari Hangzhou.

Shanghai merekodkan penularan wabak COVID-19 yang buruk di China dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sehingga menyaksikan 25 juta penduduknya berkurung di rumah selama berminggu-minggu susulan sekatan dikenakan ke atas mereka.

(Stadium kebanggaan China di Hangzhou)

Dalam pada itu, Mohamad Norza memaklumkan hanya 864 atlet dan pegawai akan menyertai Sukan SEA Hanoi, Vietnam, bulan depan, berbanding 883 orang seperti diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata jumlah terkini itu merangkumi 589 atlet terdiri daripada 364 lelaki dan 225 wanita, selain 275 pegawai.

Menurutnya, pengurangan jumlah kontinjen negara di Vietnam itu mengambil kira pengguguran beberapa atlet akibat kecederaan antaranya atlet olahraga Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Tan Ing Yueh (gimnastik artistik) dan Natasha Ezzra Abu Bakar (lawan pedang).

Sukan SEA Hanoi akan diadakan pada 12 hingga 23 Mei ini.

Media Baharu