PETALING JAYA, 29 Disember - Pemangku jurulatih Melaka FC, S. Subramaniam mengumumkan keputusan meletakkan jawatan selepas aksi Liga Super antara Melaka FC menentang Selangor FC, malam tadi.
Mengulas kekalahan pasukannya kepada Selangor FC, Subramaniam berkata tiga gol yang dibolosi dalam tempoh 13 minit pada babak awal perlawanan menjadi titik perubahan yang meranapkan momentum Melaka FC.
“Gol kedua dan ketiga itu benar-benar merosakkan momentum perlawanan secara keseluruhan. Kita gagal menutup ruang di bahagian sayap dan kebangkitan yang dilakukan pemain Selangor,” kata beliau pada sidang media selepas perlawanan di Stadium MBPJ, di sini malam tadi.
Menurut beliau, Melaka FC merupakan antara pasukan paling muda dan baharu dalam Liga Super, sekali gus memerlukan masa serta sokongan kewangan lebih kukuh untuk bersaing di tahap tertinggi.
Subramaniam turut membandingkan kekuatan Selangor FC yang menurunkan barisan penuh pemain import berbanding Melaka FC yang hanya memiliki dua hingga tiga pemain luar dalam kesebelasan utama.
“Dalam Liga Super, hampir semua pasukan bergantung sepenuhnya kepada pemain luar. Bila pemain luar kita tidak cukup kualiti, ia menjejaskan daya saing pasukan,” kata beliau.
Mengulas masa depannya, Subramaniam menegaskan keputusan meletakkan jawatan dibuat atas kehendaknya sendiri dan bukan disebabkan perbezaan pendapat dengan pihak pengurusan.
“Saya ingin berterima kasih kepada Presiden Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad kerana memberi peluang kepada saya selama satu tahun 10 bulan. Gaji dibayar tepat masa, kebajikan dijaga. Namun, dengan situasi yang sempit dan kekangan sedia ada, saya mengambil keputusan untuk mencari haluan baharu,” katanya.
Subramaniam turut memuji sikap serta kesungguhan pemain tempatan Melaka FC yang menurutnya menunjukkan keinginan tinggi untuk belajar dan bekerja keras, walaupun Liga Super bukan platform pembangunan semata-mata.
“Bermain di Liga Super adalah tentang prestasi tinggi. Namun apa yang pemain tempatan tunjukkan hari ini sangat positif. Yang membezakan hanyalah kualiti pemain serangan import,” jelas beliau.
Namun demikian, Subramaniam menzahirkan penghargaan kepada barisan pemain, jurulatih serta rakan media, sambil berharap Melaka FC akan terus maju sekiranya mendapat suntikan dana tambahan terutama bagi memperkukuh barisan pemain import.
“Melaka FC ada masa depan yang cerah. Dengan perancangan dan pelaburan yang betul, kelab ini mampu bersaing dengan lebih baik dalam Liga Super,” katanya.