fb fb fb fb fb

Skuad tinju negara sasar emas Sukan SEA 2027 di laman sendiri

Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia dilihat sebagai peluang terbaik buat skuad tinju negara untuk menamatkan kemarau pingat emas selepas kali terakhir kejayaan itu dicapai di laman sendiri pada edisi 2017/Foto Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Disember – Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia dilihat sebagai peluang terbaik buat skuad tinju negara untuk menamatkan kemarau pingat emas selepas kali terakhir kejayaan itu dicapai di laman sendiri pada edisi 2017.

Naib Presiden I Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Muhamad Farkhan Haron berkata meskipun cabaran getir menanti daripada peninju bertaraf dunia khususnya dari Thailand, Filipina dan Indonesia, perkembangan positif sukan tinju tempatan memberi isyarat awal tahap kesiapsiagaan atlet negara menjelang temasya dwitahunan itu.

2812 SKN SUKAN SEA KL PERSIAPAN BOXING 2Muhamad Farkhan Haron/Foto RTM

“Kalau 2027 nanti, genap 10 tahun kita tidak memenangi pingat emas di laman sendiri. Ia bukan satu misi mudah kerana peninju kita perlu bersaing dengan atlet bertaraf dunia, namun saya yakin dengan latihan, program dan perancangan yang baik, kita mampu mencapai keputusan yang positif,” katanya.

Dalam masa sama, beliau melihat landskap sukan kombat negara semakin berkembang dengan peningkatan penganjuran kejohanan di peringkat amatur dan profesional, termasuk kemunculan beberapa pihak baharu yang membuka lebih banyak platform kepada peninju muda tempatan untuk menimba pengalaman.

Menurut Farkhan, PTM menyokong penganjuran kejohanan profesional selagi ia mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh persatuan dan Pesuruhjaya Sukan, bagi memastikan pembangunan atlet dapat dilaksanakan secara teratur dan mampan.

Beliau turut menegaskan peranan penting sokongan ibu bapa dalam mencungkil bakat atlet sejak usia muda, selain melihat sukan sebagai medium berkesan untuk membentuk disiplin serta menjauhkan golongan muda daripada gejala sosial.

Pada Sukan SEA Thailand baru-baru ini, Malaysia meraih dua pingat gangsa dalam acara tinju, satu pencapaian yang dianggap positif walaupun berdepan lawan sukar seawal pusingan awal pertandingan.

Sehubungan itu, PTM kini giat merangka program pembangunan dan latihan jangka panjang bagi membentuk barisan peninju terbaik negara sebagai persiapan rapi menghadapi cabaran Sukan SEA 2027.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN