KUALA LUMPUR, 29 Disember - Juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2025, Sabah FA menyasarkan kelompok 12 pasukan terbaik pada saingan AFC Women’s Champions League (AWCL) bagi musim 2026/2027.
Ketua jurulatihnya, Bobby Gonzales berkata anak-anak buahnya akan berehat selama sebulan sebelum dijadual memulakan latihan pada Februari depan sebagai persediaan awal menghadapi kejohanan berprestij Asia itu.
Beliau berkata pengurusan turut merancang menambah sehingga empat pemain import bagi melengkapkan kuota maksimum enam pemain asing yang dibenarkan dalam saingan AFC, bagi memperkukuh kekuatan pasukan.
“Kita sasarkan untuk layak ke pusingan 12 terbaik seperti yang pernah dicapai sebelum ini dan berusaha untuk mencatat prestasi yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menjulang kejuaraan LWN 2025 bersama pasukan Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam tadi.

Ketua jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales
Terdahulu, Sabah mencatat sejarah muncul pasukan bola sepak wanita Malaysia pertama melayakkan diri ke slot peringkat kumpulan kejohanan AWCL pada musim 2024/2025.
Sementara itu, rekod tanpa kalah Sabah lebur apabila tumpas kepada Selangor FC dengan jaringan 1-0 pada aksi terakhir LWN 2025.
Gol tunggal Selangor dijaringkan Nur Ainsyah Murad pada minit ke-19.
Meskipun tewas, Sabah telah mengesahkan kejuaraan lebih awal dengan mengumpul 37 mata secara keseluruhan.
Kemenangan itu meletakkan Selangor sebagai naib juara LWN 2025 dengan 34 mata, manakala MBSJ FC di tempat ketiga (32 mata).