fb fb fb fb fb

Subhan kecewa Young Tiger pamer prestasi hambar

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal kecewa dengan prestasi keseluruhan ditampilkan skuad hoki remaja negara yang sekadar menamatkan saingan di tempat ke-12.

Menurut Subahan, skuad negara dilihat sukar mengekalkan tahap konsistensi dalam perlawanan.

Justeru, dia berharap agar kelemahan berkenaan dapat segera diatasi, sekiranya skuad muda negara mahu tampil cemerlang pada kejohanan besar akan datang.

Subhan bagaimanapun tidak menafikan Young Tigers mempamerkan peningkatan sepanjang kejohanan berlangsung.

Pada masa yang sama, Subahan berkata terdapat sembilan pemain muda yang dikenal pasti layak beraksi di Piala Remaja Asia 2024 pada Ogos tahun depan.

Kejohanan itu merupakan pentas kelayakan untuk saingan Piala Dunia Remaja 2025.

Sementara itu, Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhammad Amin Rahim menyerahkan nasibnya kepada KHM susulan prestasi buruk dipamerkan oleh skuad Young Tigers pada Piala Dunia Remaja baru-baru ini.

Menurut Amin, setakat ini dia masih belum mendapat gambaran jelas mengenai status jawatannya bersama skuad remaja negara.

"Saya tidak tahu dan tidak ada jawapan.

"Terpulang kepada KHM sama ada masih mahukan khidmat saya atau pun mahu mendapatkan khidmat jurulatih lain", kata Amin di sini.

Skuad Young Tigers menamatkan kempen di kedudukan ke-12 daripada 16 pasukan bertanding apabila tewas kepada New Zealand menerusi penalti 'shoot-out' selepas terikat 2-2.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara bimbingan Amin menyamai pencapaian pada 2001 di Hobart, Australia serta 2009 ketika menjadi penganjur bersama di Johor Bahru dan Singapura.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD