KUALA NERUS, 1 Julai – Seorang tokoh korporat dijangka diumumkan dalam masa terdekat bagi menerajui Terengganu FC Sendirian Berhad (TFC Sdn. Bhd.), sekali gus menandakan peralihan penting dalam struktur pengurusan kelab tersebut ke arah yang lebih profesional.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Pengarah TFC Sdn. Bhd., Hishamuddin Abdul Karim selepas menyaksikan majlis penyerahan tajaan daripada Kumpulan Terengganu Inc. berjumlah RM1.65 juta yang berlangsung di sini, petang tadi.
Menurut Hishamuddin, pihaknya akan menjalankan temuduga tertutup minggu hadapan bagi memilih calon terbaik untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC Sdn. Bhd., dengan beberapa nama telahpun diterima untuk pertimbangan.
“Kita telah menerima beberapa calon CEO dan panel penemuduga terdiri daripada Yang Berhormat Mulia Dato’ Tengku Bijaya dan Datuk Burhanuddin. Kali ini, kita mahu perkenalkan tokoh korporat yang benar-benar mampu menguruskan kelab secara profesional, bukan lagi dengan pendekatan ala Persatuan Bolasepak (FA),” katanya dalam sidang media, di sini.
Hishamuddin, yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, memaklumkan bahawa pengumuman rasmi mengenai tokoh tersebut akan dibuat pada hari yang sama sesi dialog terbuka diadakan, selepas mendapat kelulusan daripada ahli lembaga pengarah.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui terdapat sedikit tunggakan gaji pemain, namun memberi jaminan bahawa penyelesaian sedang diusahakan secara menyeluruh dan bertanggungjawab.
“Memang ada sedikit tunggakan dan ia sudah dimaklumkan kepada ahli lembaga pengarah. Kami sedang menyusun struktur kewangan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hishamuddin turut memaklumkan, lima pemain import baharu yang bakal memperkuatkan skuad Terengganu FC akan diumumkan secara berperingkat bermula esok.
Sementara itu, skuad bimbingan ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, dijadual mengadakan perlawanan persahabatan pramusim menentang Kelantan Red Warriors di Kota Bharu pada 4 Julai ini sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Malaysia.