KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pemain badminton perseorangan wanita negara, Siti Zulaikha Muhammad Azmi menyambut baik pelantikan Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai ketua jurulatih baharu bagi sektor perseorangan wanita kebangsaan.
Menurut Siti Zulaikha, pelantikan bekas pemain perseorangan lelaki negara itu diyakini mampu memberikan impak positif, khususnya dalam aspek disiplin dan pembentukan karakter pemain.
"Saya harap kehadiran beliau dapat membantu kami dari segi disiplin dan membina karakter dalam gelanggang," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Iskandar, 33, sebelum ini berkhidmat sebagai jurulatih di Ireland sejak 2022 dan membawa pengalaman luas yang dijangka menjadi nilai tambah penting dalam memperkukuh struktur latihan skuad perseorangan wanita kebangsaan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ahad mengesahkan bahawa Iskandar akan memulakan tugas secara rasmi bermula 1 Oktober ini.
Siti Zulaikha ketika ini sedang giat menjalani latihan rapi sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Universiti Dunia (Universiade) yang dijadual berlangsung di Rhine-Ruhr, Jerman bulan ini.
Mengulas mengenai penampilan sulungnya di kejohanan tersebut, beliau berkata tumpuan utamanya kini adalah untuk memperkemas prestasi sendiri, memandangkan undi pertandingan masih belum diumumkan.