fb fb fb fb fb

Basel siap sedia jadi tuan rumah perlawanan pembukaan Euro Wanita

Bandar Basel, di Switzerland kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang perlawanan pembukaan Kejohanan Euro Wanita 2025 / Foto Reuters

BASEL, 1 Julai – Bandar Basel kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang perlawanan pembukaan Kejohanan Euro Wanita 2025, yang bakal menyaksikan tuan rumah Switzerland menentang Norway pada Selasa.

Suasana sambutan kejohanan sudah mula dirasai di seluruh bandar dengan hiasan menarik, termasuk lukisan gergasi bola sepak di Jambatan Mittlere yang terkenal, serta puluhan papan tanda promosi dipasang di pelbagai lokasi utama di sekitar Basel.

Switzerland dipilih sebagai tuan rumah kejohanan berprestij itu yang akan berlangsung dari 2 hingga 27 Julai, melibatkan lapan venue utama di seluruh negara iaitu Basel, Bern, Geneva, Zurich, St. Gallen, Sion, Lucerne dan Thun.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing merebut kejuaraan Eropah edisi kali ini, dengan perlawanan pembukaan dan akhir dijadual berlangsung di Stadium St-Jakob, Basel.

Kali terakhir kejohanan Euro Wanita dianjurkan ialah pada tahun 2022 di England, dengan tuan rumah menewaskan Jerman dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley untuk muncul juara.

Sementara itu, ini merupakan kali pertama sejak 2008 Switzerland menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak utama, selepas menganjurkan Euro Lelaki 2008 bersama Austria.

Kejohanan tersebut dijangka menarik perhatian besar peminat bola sepak seluruh dunia, sekali gus memperkukuh lagi kedudukan bola sepak wanita di persada antarabangsa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN