fb fb fb fb fb

Abu Bakar Atan dinobat Legenda AIPS Asia, harumkan nama Malaysia

Abu Bakar Atan (tengah)

HONG KONG, 1 Julai – Wartawan sukan berpengalaman, Abu Bakar Atan terus mengharumkan nama negara apabila menerima pengiktirafan berprestij sebagai Legenda AIPS Asia sempena Kongres ke-26 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) yang berlangsung di sini, hari ini.

Anugerah tersebut diberikan kepada tokoh kewartawanan sukan yang telah mencurahkan bakti selama lebih tiga dekad, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan industri media sukan di peringkat Asia.

Abu Bakar, 60, menjadi wakil kedua Malaysia menerima anugerah tersebut selepas Ahmad Khawari Mohd Isa yang turut mendapat penghormatan serupa pada edisi lalu.

Gelaran itu merupakan inisiatif AIPS Asia yang dimulakan sejak 2023 bagi menghargai sumbangan wartawan sukan veteran atau ‘orang lama’ yang banyak menabur jasa dalam bidang masing-masing.

Abu Bakar memulakan kerjaya sebagai wartawan sukan di Berita Harian pada tahun 1984, sebelum menjadi sebahagian daripada kumpulan pengasas di Harian Metro.

Beliau kemudiannya mencipta nama sebagai pembaca berita dan wartawan sukan di TV3 dari 1997 hingga 2021, dan pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN