KUALA LUMPUR, 1 Julai – Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 kembali dengan saingan paling sengit setakat ini apabila barisan pencalonan terdiri daripada atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia sepanjang tahun lalu.
Majlis penganugerahan berprestij itu dijadual berlangsung pada 14 Julai ini, dengan dua kategori utama menjadi tumpuan iaitu Atlet Terbaik 2024 dan Atlet Para Terbaik 2024, yang menyaksikan persaingan hebat lima penjuru dalam setiap kategori.
Antara calon utama Atlet Terbaik ialah juara dunia pelari menara, Soh Wai Ching, pemain boling elit negara, Sin Li Jane, ratu wushu negara, Tan Cheong Min, pemain boling padang nombor satu dunia, Farah Ain Abdullah dan gandingan pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata pencalonan tahun ini mencerminkan tahap kemajuan luar biasa sukan negara, selain menegaskan semua senarai akhir disusun hasil kerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN).
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap
"Kita tidak lupa dua anugerah utama iaitu Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024, di mana senarai pendek lima atlet bagi setiap kategori ini merupakan hasil saringan bersama MSN," katanya dalam sidang media yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Dalam kategori Atlet Para Terbaik, lima nama besar disenaraikan hasil kecemerlangan konsisten mereka menyumbang pingat di pentas antarabangsa.
Mereka terdiri daripada juara dunia powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou, jaguh lontar peluru F20, Ziyad Zolkefli, atlet lompat jauh T20, Datuk Abdul Latif Romly dan pelari pecut para T44 negara, Eddy Bernard.
Pemenang kedua-dua kategori utama bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi eksklusif.
Sebanyak 13 kategori keseluruhan bakal dipertandingkan termasuk Anugerah Siebel, Anugerah Fotografi Sukan Terbaik, Anugerah Tokoh Kepimpinan SAM dan Anugerah Pengulas Sukan Popular.
Majlis penganugerahan akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dengan kehadiran tokoh-tokoh sukan, wartawan sukan, dan wakil media dari seluruh negara.