fb fb fb fb fb

Besiktas sah rundingan bawa masuk Tammy Abraham

Foto Reuters

ISTANBUL, 1 Julai - Kelab gergasi Turki, Besiktas mengesahkan sedang mengadakan rundingan untuk mendapatkan penyerang England, Tammy Abraham, yang kini masih terikat kontrak bersama kelab Serie A, AS Roma.

"Rundingan telah dimulakan bersama pemain dan kelabnya, AS Roma SPA, bagi perpindahan pemain bola sepak profesional Kevin Oghenetega Tamaraebi Bakumo-Abraham," kata Besiktas dalam kenyataan rasmi menggunakan nama penuh pemain itu.

Abraham, 27, masih mempunyai baki setahun kontrak bersama Roma, dan laporan media Itali menyatakan perbincangan tersebut melibatkan perpindahan secara pinjaman.

Penyerang kelahiran London itu turut mengesahkan perjalanannya ke Istanbul melalui satu video di dalam pesawat peribadi kelab yang dimuat naik ke akaun Instagram rasmi Besiktas.

“Halo Black Eagles, saya datang untuk anda, jumpa di lapangan terbang,” katanya ringkas dalam video berkenaan.

Abraham dijangka tiba di kota terbesar Turki itu lewat Selasa bagi melengkapkan perpindahan.

Tammy Abraham menyertai AS Roma pada Ogos 2021 menerusi kontrak lima tahun selepas berhijrah dari Chelsea dengan nilai perpindahan sekitar 41 juta euro (kira-kira £35 juta atau AS$48 juta). Beliau menjadi tonggak utama skuad kendalian Jose Mourinho ketika merangkul trofi Liga Persidangan Eropah UEFA pada 2022.

Musim lalu, Abraham dipinjamkan ke kelab seteru, AC Milan, untuk kempen 2024-25, di mana beliau menjaringkan 10 gol dalam semua kejohanan.

Perpindahan ini dijangka mengukuhkan lagi jentera serangan Besiktas dalam usaha mereka mencabar kejuaraan domestik dan saingan Eropah musim akan datang.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN