ORLANDO, 1 Julai – Ketua jurulatih Al Hilal, Simone Inzaghi memuji semangat juang luar biasa barisan pemainnya selepas mengejutkan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dengan kemenangan dramatik 4-3 dalam masa tambahan pada aksi Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.
"Kami tahu bahawa kami perlu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menewaskan Manchester City dan itulah yang ditunjukkan oleh para pemain malam ini. Mereka benar-benar hebat," kata bekas jurulatih Inter Milan itu sejurus tamat perlawanan di Camping World Stadium.
"Untuk menewaskan pasukan seperti Manchester City, kami ibarat perlu mendaki Everest tanpa oksigen. Dan kami berjaya melakukannya. Semua pemain luar biasa – sama ada ketika mengawal bola mahupun ketika bertahan," tambahnya lagi.
Perlawanan itu dianggap kejutan terbesar kejohanan yang berlangsung di Orlando, memandangkan City sebelum ini memenangi semua tiga perlawanan peringkat kumpulan, termasuk kemenangan bergaya 5-2 ke atas Juventus.
Inzaghi yang baru beberapa minggu mengambil alih pasukan turut menzahirkan penghargaan kepada pemain atas komitmen tinggi mereka.
Foto AFP
"Kami baru sahaja bersama selama tiga minggu dan sudah boleh melihat tahap disiplin dan usaha yang mereka curahkan. Sebagai jurulatih, itu sesuatu yang sangat membanggakan."
"Para pemain benar-benar memberikan segalanya, dan kini mereka layak ke suku akhir," katanya.
Sementara itu, pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mengakui kekalahan itu sukar diterima, namun tetap memuji persembahan Al Hilal yang dianggap menyengat menerusi serangan balas.
"Ia satu kekecewaan. Kami telah melalui satu perjalanan luar biasa bersama, dan prestasi pasukan sebelum ini amat memberangsangkan. Saya amat menghargai usaha semua pemain," katanya.
"Al Hilal bijak memanfaatkan ruang. Mereka mempunyai pemain yang pantas, dan menyerang dengan efisien ketika transisi. Kami mencipta banyak peluang, tetapi mereka menghukum kami dalam situasi serangan balas," tambah Guardiola.
Piala Dunia Kelab edisi kali ini merupakan peluang jarang buat City, dan Guardiola mengakui kekalahan tersebut amat memeritkan.
"Kejohanan ini hadir setiap empat tahun. Kami rasakan kami berada di landasan terbaik, tetapi inilah bola sepak. Kini masa untuk berehat dan bersedia untuk musim baharu," katanya.
Al Hilal kini mara ke suku akhir dan akan berdepan cabaran getir seterusnya dalam usaha memburu kejuaraan dunia kelab yang pertama dalam sejarah kelab dari Arab Saudi itu.-AFP