fb fb fb fb fb

Terbuka Wimbeldon: Zverev tersingkir awal

Bintang tenis Jerman, Alexander Zverev / Foto REUTERS

LONDON, 2 Julai – Pemain pilihan ketiga kejohanan, Alexander Zverev, menjadi mangsa kejutan terbesar dalam pusingan pertama Wimbledon 2024 apabila tewas dalam pertarungan lima set menentang pemain Perancis, Arthur Rinderknech, semalam.

Zverev, yang menduduki ranking keempat dunia, tewas 6-7(3), 7-6(8), 3-6, 7-6(5), 4-6 dalam perlawanan yang bersambung pada Selasa selepas ditangguhkan akibat hujan pada Isnin dengan kedudukan terikat satu set sama.

Kekalahan itu menyaksikan Zverev tersingkir seawal pusingan pertama di kejohanan Grand Slam buat kali pertama sejak Wimbledon 2019.

Kemenangan dramatik itu membolehkan Rinderknech, pemain ranking ke-83 dunia, melangkah ke pusingan kedua dan akan menentang , pemain Chile, Cristian Garin pada pusingan kedua.

Nasib sama turut dialami pemain Kazakhstan, Alexander Bublik, tersingkir selepas tewas kepada pemain Sepanyol, Jaume Munar dalam pertarungan lima set 6-4, 3-6, 4-6, 7-6(5), 6-2.

Sementara itu dalam perseorangan wanita, pilihan utama, Iga Swiatek dari Poland, menewaskan Polina Kudermetova 7-5, 6-1 dan bakal berdepan Caty McNally dari Amerika Syarikat.

Pemain Rusia, Mirra Andreeva yang merupakan pilihan ketujuh, menewaskan wakil Mesir, Mayar Sherif, 6-3, 6-3 dan akan menentang Lucia Bronzetti dari Itali.

Emma Navarro dari Amerika Syarikat, pilihan ke-10, mencuri perhatian apabila menundukkan bekas juara dua kali Wimbledon, Petra Kvitova, 6-3, 6-1.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD