MIAMI, 2 Julai – Gol tandukan pada Gonzalo Garcia pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Real Madrid ke atas Juventus di Stadium Hard Rock, sekali gus menempah tempat ke suku akhir Piala Dunia Kelab.
Kemenangan itu turut memastikan skuad kendalian Xabi Alonso mara ke kelompok lapan terbaik dan akan berdepan pemenang di antara Borussia Dortmund dan Monterrey dari Mexico.
Lebih manis, bintang Perancis, Kylian Mbappe yang sebelum ini diketepikan akibat masalah kesihatan sebelum ini , turut membuat penampilan semula apabila dimasukkan pada minit ke-68, mencetus sorakan gemuruh daripada lebih 62,000 penyokong yang membanjiri stadium.
Pada perlawanan itu, Juventus bermula cemerlang dengan menguasai minit-minit awal perlawanan. apabila Randal Kolo Muani hampir membuka jaringan selepas menerima hantaran cantik daripada Kenan Yildiz, namun cubaan melepasi palang gol.
Yildiz sekali lagi mencemaskan benteng Madrid apabila melepaskan rembatan yang terkena Aurelien Tchouameni sebelum melencong keluar.
Bagaimanapun, Real Madrid kembali menguasai permainan apabila Jude Bellingham nyaris menjaringkan gol , tetapi digagalkan oleh penjaga gol Juventus, Michele Di Gregorio.
Madrid terus mengasak menerusi percubaan Federico Valverde dan hantaran lintang berbahaya oleh Trent Alexander-Arnold, namun kedudukan kekal tanpa jaringan hingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Real tidak menunggu lama untuk mencipta peluang. Bellingham dan Valverde terus menjadi penggerak utama serangan dengan beberapa cubaan tepat ke arah gawang lawan.
Akhirnya jaringan yang dinantikan tiba apabila hantaran Alexander-Arnold dari sebelah kanan, disambut dengan tandukan kemas Garcia yang menewaskan Di Gregorio sekali gus gol ketiganya dalam kejohanan berkenaan.
Juventus cuba bangkit dengan rembatan Francisco Conceicao, namun penjaga gol Real Madrid, Courtois cemerlang menepis cubaan itu.
Meskipun Juventus terus mengasak sehingga wisel penamat, jaringan Garcia kekal menjadi pemisah antara dua kelab gergasi Eropah itu.
Madrid kini selangkah lagi untuk mara ke separuh akhir dan mengintai peluang menjulang kejuaraan kelab dunia buat kali ke-6 dalam sejarah pasukan berkenaan.-AFP