fb fb fb fb fb

Giroud kembali ke Ligue 1 bersama Lille

Penyerang veteran Perancis, Olivier Giroud / Foto AFP

PARIS, 2 Julai- Penyerang veteran Perancis, Olivier Giroud kembali mewarnai saingan Ligue 1 apabila menandatangani kontrak setahun bersama Lille, pada Selasa.

Giroud, 38, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan Perancis, meninggalkan kelab Major League Soccer (MLS) Los Angeles FC minggu lalu sebelum membuat keputusan kembali ke negaranya.

Kali terakhir beliau beraksi dalam Ligue 1 ialah bersama Montpellier pada musim 2011-2012, menyaksikan beliau membantu kelab itu menjuarai liga Perancis sebelum berhijrah menyertai Arsenal.

“Saya sangat gembira dan teruja untuk kembali ke Perancis, ke tanah air saya sendiri.

"Sudah tentu ia satu keputusan yang tepat untuk kembali ke Ligue 1 selepas 13 tahun,” kata Giroud menerusi kenyataan.

“Saya sentiasa menganggap Lille sebagai antara kelab terbaik di Perancis.

"Mereka memiliki skuad muda dan berbakat, dan saya hadir untuk membantu dengan pengalaman yang saya miliki", ujarnya.

Giroud meledak lebih 100 gol sepanjang enam musim bersama Arsenal, sebelum menyertai Chelsea dan memenangi kejuaraan Liga Juara UEFA pada 2021.

Beliau kemudian berpindah ke AC Milan dan menjuarai Serie A pada 2022.

Di peringkat antarabangsa, Giroud mengumumkan persaraannya tahun lalu dengan rekod 57 gol dalam 137 penampilan bersama Perancis, termasuk menjulang Piala Dunia 2018 bersama skuad Les Bleus.

Kehadirannya dijangka memperkukuh jentera serangan Lille yang kini dibarisi ramai pemain muda, selain memberikan nilai tambah dari segi kepimpinan dan pengalaman di pentas tertinggi.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD