MIAMI GARDENS, 2 Julai - Ketua jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso, mengesahkan Kylian Mbappe semakin hampir mencapai tahap kecergasan sepenuhnya menjelang aksi suku akhir Piala Dunia Kelab, selepas pasukannya menyingkirkan Juventus 1-0 dalam pusingan 16 terbaik awal pagi tadi.
Mbappe yang sebelum ini terpaksa diketepikan sepanjang aksi peringkat kumpulan akibat gastroenteritis, akhirnya membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Alonso menyuarakan keyakinan bahawa penyerang Perancis itu akan berada dalam keadaan yang lebih baik menjelang pertemuan suku akhir menentang Borussia Dortmund atau Monterrey pada Sabtu ini.
Mbappe mengucapkan tahniah kepada Gonzalo yang menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Juventus - Foto AFP
"Dari hari ke hari, dia semakin pulih. Saya percaya menjelang aksi suku akhir, dia akan berada dalam keadaan fizikal yang jauh lebih baik.
"Kami akan terus pantau perkembangannya setiap hari," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sepanjang ketiadaan bintang Perancis itu, Gonzalo Garcia tampil cemerlang apabila menjaringkan satu-satunya gol perlawanan awal pagi tadi, yang juga gol ketiganya dalam kejohanan setakat ini.
Gonzalo menjaringkan gol tunggal ketika Real Madrid menewaskan Juventus - Foto AFP
Alonso turut memuji beberapa pemain lain yang mempamerkan aksi cemerlang.
"Ya, sudah pasti. Saya fikir kami memerlukan skuad yang seimbang. Ini adalah Piala Dunia (Kelab) jadi konteksnya berbeza (liga). Anda tahu bahawa setiap perlawanan adalah sama ada kamu menang atau kalah..teruskan perjuangan atau pulang.
"Jadi, konteksnya sedikit berbeza. Namun yang pasti, sepanjang musim kami memerlukan skuad yang seimbang, dengan pelbagai pilihan pemain, kerana tiada seorang pun pemain akan bermain untuk setiap minit, maka kami perlu atasinya," katanya. - REUTERS