MIAMI GARDENS, 2 Julai - Seramai 10 pemain Juventus meminta untuk dikeluarkan akibat cuaca panas terik semasa perlawanan yang menyaksikan kekalahan 1-0 kepada Real Madrid dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Jurulatih Juventus, Igor Tudor, dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hard Rock itu menyaksikan suhu mencecah 30 darjah Celsius dengan kelembapan udara setinggi 70 peratus, satu kombinasi mencabar untuk para pemain.
Igor Tudor (kanan) ketika aksi menentang Real Madrid - Foto AFP
"Permainan hari ini, keadaan di atas padang menyukarkan pemain untuk berlari. Ini menyaksikan, sepuluh pemain kami minta untuk ditukar dan kami tidak boleh melakukannya.Keadaan ini memang sangat meletihkan pemain," katanya.
Real Madrid melangkah ke suku akhir hasil jaringan Gonzalo Garcia, manakala Kylian Mbappe membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Keadaan cuaca melampau di beberapa bandar tuan rumah Piala Dunia Kelab menjadi tumpuan utama sepanjang kejohanan ini, yang turut dianggap sebagai ujian awal menjelang Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Susulan keadaan cuaca berkenaan, pihak FIFA telah melaksanakan satu tempoh rehat pada setiap separuh masa, serta beberapa langkah mitigasi lain.
Namun begitu, terdapat rungutan daripada beberapa pemain dan jurulatih mengenai keadaan cuaca yang tidak selesa itu. - REUTERS