(FOTO FAIL)
KUALA KANGSAR, 11 Februari- Status penambahbaikan Velodrom Rakyat di Ipoh akan diketahui keputusannya selepas sidang Parlimen akhir bulan ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata pihaknya akan meneliti dahulu perkara tersebut di peringkat kementerian bagi mencari penyelesaian dan situasi menang-menang untuk semua pihak terlibat.
"Kementerian ambil maklum perkara yang dibangkitkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) malah kita telah perincikan semua aspek kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
"Kita sedia maklum Velodrom Rakyat ini telah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM11 juta pada 2016 lalu dan kini difahamkan mengalami kerosakan, jadi kita mahu siasatan terperinci dilakukan sebelum membuat keputusan, dijangkakan selepas persidangan Parlimen, 24 Februari ini," katanya.
(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim)
Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain kelab BRM FC di Kuala Kangsar.
Sebelum ini dilaporkan Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berharap KBS mempertimbangkan untuk memasang bumbung pada velodrom tersebut bagi melindungi trek kayu itu.
Saranan itu dibuat selepas pihaknya mendapati ada beberapa kawasan di velodrom itu mulai comot dan bertukar kehitaman kerana keadaannya yang terbuka dan terdedah kepada cuaca panas dan hujan.