fb fb fb fb fb

Stark miliki kelebihan satu pukulan pada pusingan kedua golf maybank

Stark menyerlah pada saingan di Bukit Kiara/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Oktober-Pemain dari Sweden Maja Stark merampas kedudukan pendahulu selepas mengulangi catatan enam bawah par 66t pada pusingan kedua Kejohanan Golf Maybank 2024 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu memimpin saingan dengan kelebihan satu pukulan terhadap empat pemain lain selepas mencatatkan tujuh birdie dan satu bogey dengan jumlah keseluruhan 12 bawah par 132 dalam kejohanan bernilai AS$3 juta (RM13.01 juta) itu.

Stark, yang memburu gelaran Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) keduanya selepas memenangi Jemputan Dunia ISPS Handa 2022, memulakan saingan hari kedua dengan birdie pada lubang pertama, ketiga dan kelima sebelum mencatat bogey di lubang kelapan.

Beliau kemudian bangkit dengan mencatatkan birdie berurut-turut dari lubang ke-10 hingga 13 dan menamatkan permainan sebelum cuaca buruk memaksa pertandingan ditangguh selama dua jam bermula pukul 2.10 petang.

Pemain Amerika Syarikat, Marina Alex (69-64), Hsu Wei Ling (65-68) dari Taiwan dan dua pemain Korea Selatan, An Narin (66-67) serta Ryu Hae Ran (64-69), masing-masing berkongsi kedudukan kedua dengan catatan keseluruhan 11 bawah par 133.-Bernama

Trainee