LONDON, 25 Oktober-Pemain sayap England, Anthony Gordon telah menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelabnya, Newcastle United.
Tindakan berkenaan sekali gus melenyapkan spekulasi perpindahan dan menjadikan pemain berkenaan fokus terhadap kariernya bersama kelab tersebut, kata pengurus kelab, Eddie Howe pada Jumaat.
Selepas merekodkan 12 jaringan musim lalu, Gordon dilihat bermula agak perlahan musim ini dengan hanya dua gol meletakkan Newcastle di tangga kesembilan liga.
Pengurusan kelab mengumumkan pemain tersebut melanjutkan kontrak bersama Newcastle United pada Khamis.
Gordon, 23, sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool pada penghujung musim lalu yang menyebabkan fokusnya terjejas pada persiapan pramusim pasukan tersebut.
"Kontrak baharu ini menghapuskan banyak gangguan yang tidak perlu mengenai masa depannya.
"Saya rasa sekarang dia boleh benar-benar fokus pada musim ini dan bermain pada tahap terbaiknya," kata Howe kepada pemberita menjelang perlawanan Liga Perdana menentang Chelsea pada Ahad.
"Dia sangat berbakat. Kami sangat memerlukannya berada dalam prestasi terbaik, dan saya rasa ini akan membantunya, tanpa ragu-ragu, kembali ke tahap terbaik.
"Musim panas adalah masa yang sukar baginya, tidak syak lagi tentang itu. Saya rasa ia juga sukar bagi ramai pemain lain.
Howe berkata bahawa meskipun Gordon berlatih dengan baik bersama Newcastle, kekurangan minit permainan bersama pasukan England telah menyebabkan dia menurun secara fizikal apabila kembali bermain untuk kelab.
"Apabila melihat perlawanan menentang Manchester City di mana Gordon menjaringkan gol penyamaan, saya fikir dia sangat cemerlang dari segi fizikal.
"Saya rasa dia benar-benar luar biasa. Kami berasa dia mungkin sedang memasuki tempoh fizikal terbaiknya bersama kami," kata Howe.