fb fb fb fb fb

Speedy Tigers tamat tempat keenam, Sarjit mahu bina pasukan elit

Pemain Wales Welsh Sam (kanan) diasak pemain Malaysia, Andywalfian Jeffrynus ketika perlawanan di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Jun - Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk menamatkan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025 dengan kemenangan, tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat kelima di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Syed Mohammad Syafiq pada minit ke-20.

Namun gagal mempertahankan kelebihan apabila Wales bangkit menyamakan kedudukan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada 10 minit terakhir perlawanan.

Jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh mengakui kecewa dengan kekalahan itu, namun menegaskan ia sebahagian daripada proses pembangunan pasukan yang masih di peringkat awal.

“Mestilah kecewa...tapi saya sudah cakap pada perlawanan kali ini semua pasukan seimbang. Siapa yang ambil peluang, dia yang menang," katanya kepada media selepas perlawanan.

Sarjit berkata, proses membentuk skuad mantap memerlukan masa serta perancangan jangka panjang, termasuk mengenal pasti lebih ramai pemain yang berpotensi.

“Nak bina pasukan bukan satu tahun dua tahun. Kita kena ambil empat tahun sekurang-kurangnya. Sekarang kita tengah cari pemain. Kalau ada yang berminat, kenapa tidak? " ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan skuad negara untuk menyertai lebih banyak kejohanan berintensiti tinggi bagi meningkatkan kematangan dan keyakinan pemain, terutamanya dalam menghadapi situasi tertekan.

“Kami perlu bermain dalam banyak perlawanan menyebabkan tekanan kepada pemain. Harap pemain sedar selepas perlawanan ini, mereka mula berinteraksi antara pasukan, mengambil tanggungjawab." katanya lagi.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen di tempat keenam satu anak tangga lebih baik berbanding edisi sebelumnya di Poland, yang menduduki tempat ketujuh.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan, Jepun menewaskan Afrika Selatan 2-1.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ